Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar ujud pada salah satu malam yang ke 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.
Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting adalah disebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:
- Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
- Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
- Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.
Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.
Tanda Malam Lailatulqadar : Para alim ulama menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatulqadar antaranya :-
Pertama -
Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
Kedua -
Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
Ketiga -
Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Keempat -
Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.
Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatulqadar. Sebagaimana sabda Nabi Muhamad s.a.w yang maksudnya : Carilah malam Lailatul Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempuh sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadan.
No comments:
Post a Comment