Tuesday, September 01, 2009

Minyak naik lagik??

[caption id="" align="aligncenter" width="300" caption="ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) mengisi minyak kereta pada Majlis Pelancaran Penjualan Petrol RON95 di Stesen Minyak Petronas Lebuh Raya Sprint, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Tan Lian Hoe (kiri) dan Mohd. Zain Mohd. Dom (tengah)."]Minyak[/caption]

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Harga petrol RON95 yang akan dijual bermula esok ditetapkan pada RM1.80 seliter dan boleh diperoleh di semua stesen minyak di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, petrol RON97 pula dijadikan petrol premium dengan harga ditetapkan RM2.05 sen seliter.

''Penetapan RON95 pada RM1.80 dan RON97 pada RM2.05 adalah berikutan purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 (RM142.63) pada Disember 2008 kepada US$82.30 (RM288.05) pada Ogos 2009.

''Dengan jangkaan jualan RON95 sebanyak 95 peratus daripada keseluruhan jualan petrol di Malaysia, kerajaan dianggarkan masih membayar subsidi sebanyak 33.81 sen seliter atau RM304 juta sebulan untuk rakyat negara ini manakala subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi RON97 ialah 42.72 sen seliter,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Penjualan Petrol RON95 di seluruh negara bermula esok di Stesen Minyak Petronas Lebuh Raya Sprint di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Mohd. Sabaruddin Mohd. Amin.

Ismail Sabri memberitahu, berdasarkan pada harga produk petroleum dunia, kementerian yakin harga RON95 dan RON97 dapat dikekalkan sehingga akhir tahun ini.

Katanya, RON95 merupakan bahan bakar yang mematuhi spesifikasi Euro2M di mana ia dapat mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada pengeluaran asap kenderaan.

''Spesifikasi Euro2M adalah merupakan standard baru bagi petrol dan diesel yang akan mengurangkan kandungan sulfur daripada 3,000 bahagian perjuta (ppm) kepada 500ppm yang akan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di udara,'' katanya.

Beliau memberitahu, 80 peratus pengguna telah bertukar menggunakan RON95 berbanding RON97 sejak penjualan RON95 di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang dan Putrajaya pada 12 Mei 2009.

Tambahnya, sehingga kini tiada rungutan ataupun aduan diterima daripada pengguna mengenai prestasi enjin kenderaan akibat daripada penggunaan RON95.

Jelas beliau, kebanyakan enjin kenderaan ketika ini menggunakan teknologi yang direka bentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95.

''Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia masa kini seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95,'' katanya.

Ismail Sabri juga mengumumkan bermula esok petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran memandangkan penggunaan petrol tersebut adalah begitu kecil iaitu sekitar lima peratus sahaja daripada keseluruhan penjualan petrol di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...