Friday, June 05, 2009

Tengok hantu tetapi ketawa













SALAH satu adegan seram dan kelakar dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak lakonan Mazlan Pet Pet dan Azlee Jaafar.



AHMAD Idham Ahmad Nazri boleh dikategorikan sebagai pengarah yang versatil kerana mengarahkan pelbagai genre filem seperti cinta, komedi, aksi, seram dan fantasi selepas hampir sedekad melibatkan diri dalam bidang tersebut.

Sebagai contohnya, filem terbaru arahan beliau berjudul Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 4 Jun (hari ini) pula bergenrekan komedi seram.

Menurut Ahmad Idham, JPBC bukan sahaja tiada kena mengena dengan filem seram arahannya bertajuk Jangan Pandang Belakang atau Congkak, tetapi ia juga suatu genre yang jarang diketengahkan oleh pengarah filem di negara ini.

Justeru, beliau menganggap JPBC sebagai suatu cabaran baru buatnya dalam usaha menarik para penonton ke pawagam bagi menyaksikan karya arahan terbarunya itu yang diterbitkan oleh MIG Production Sdn. Bhd . (MIG).

"Ini merupakan antara filem arahan saya yang memberi tekanan kepada saya. Ini kerana, bukannya mudah untuk menghasilkan sebuah filem seram. Saya terpaksa memerah idea bagai mana mahu membuatkan orang ketawa apabila melihat hantu dalam filem ini.

"Sebelum ini apabila saya arahkan filem hantu, orang kata saya mahu menyesatkan akidah para penonton. Saya harap tidak timbul lagi isu seperti itu. Saya mahu para penonton ketawa menonton filem ini," katanya ketika ditemui Hits selepas pratonton JPBC di Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ahmad Idham turut menjelaskan, filem yang diterbitkan dengan kos sebanyak RM1.85 juta itu bukanlah berteraskan genre spoof (olok-olok).

Rasional beliau ialah, jalan ceritanya berlandaskan kepada suatu cerita baru dan tiada kaitan dengan filem-filem lain.

Tambah Ahmad Idham lagi, beliau sengaja meletakkan JPBC sebagai judul filem itu kerana sambutan hangat atas filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak yang diarahkannya sebelum ini.

"Kalau mahu buat filem spoof, kita kena ada banyak filem untuk dirangkumkan menjadi satu. Sedangkan JPBC merupakan sebuah filem baru. Tetapi saya sengaja menggunakan JPBC sebagai judul filem ini untuk menarik perhatian penonton.

"Mungkin dengan menggunakan judul JPBC orang akan lebih mudah mengingatinya berdasarkan sambutan terhadap dua filem itu sebelum ini. Saya belajar formula ini pun daripada penerbit Mohd. Noor Kadir sewaktu berkerja dengannya dulu. Judul filem memang memainkan peranan amat penting," ujarnya.

JPBC menampilkan ramai pelakon popular seperti Mazlan Pet Pet, Cat Farish, Sam Shaheizy, Lisa Surihani, Azlee Jaafar, Piee, Dina (Malaysian Idol), Zarina (Akademi Fantasia), Mas Muharni, Den Wahab, Bob Kuman serta penerbit MIG sendiri iaitu David Teo.

Biarpun bergelar penerbit, namun David tiada masalah untuk mengikut segala arahan Ahmad Idham demi melakonkan watak pelakon tambahan sebagai seorang remaja berimej hip hop dalam JPBC.

"Walaupun saya penerbit filem ini, tetapi sebagai pelakon saya harus mengikut arahan Idham. Saya sengaja mencuba bakat berlakon dalam filem ini untuk merasai sendiri pengalaman sebagai pelakon. Daripada situlah saya tahu apakah masalah yang dihadapi oleh para pelakon.

"Contohnya, kalau pelakon datang lambat di lokasi penggambaran, maka saya dapat memahami tentang masalah itu. Mereka (pelakon) pun mungkin susah mahu tipu saya. Sebagai pelakon, saya tidak pilih watak dan saya juga akan cuba melakonkannya dengan sebaik mungkin," ujarnya.

JPBC bukanlah filem pertama lakonan David, sebaliknya, penerbit berasal dari Segamat, Johor ini juga pernah berlakon dalam filem seperti Kala Malam Bulan Mengambang, Remp-It 2, I'm Not Single dan Jin Notti.

Mazlan Pet Pet (Lan) yang melakonkan watak Punai dalam JPBC juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan Ahmad Idham bagi memastikan gaya lakonannya dalam filem itu tidak sama seperti dalam filem Senario.

Kata Lan, kalau boleh dia mahu lari daripada gaya lakonan atau lawak stereotaip yang biasa dilakonkannya bersama kumpulan Senario dalam filem-filem lakonannya sebelum ini.

"Idham banyak ajar saya melakonkan watak Punai dalam filem ini. Saya sentiasa memberi kerjasama kepada Idham sepanjang penggambaran filem ini dijalankan. Misalnya, watak Orang Minyak lakonan saya memerlukan saya disolek hampir dua jam lamanya.

"Saya cuma minta pada Idham kalau mahu solek saya biarlah waktunya lepas waktu Maghrib supaya senang saya mahu ambil wuduk solat. Selepas itu shooting sampai tengah malam pun saya tidak kisah," katanya dalam nada bergurau.

Kelainan watak Punai lakonan Lan dalam JPBC begitu ketara kerana tidak banyak gaya slapstik yang ditonjolkannya dalam filem itu.

Sebaliknya, Lan lebih banyak memperlihatkan kreativiti tersendiri beliau ketika melakonkan watak tersebut.

"Dalam filem ini, saya melakonkan watak orang lain (Punai) dan bukannya Lan Pet Pet dalam filem-filem Senario sebelum ini. Saya harap para penonton akan dapat melihat perbezaan gaya lakonan saya itu," jelasnya lagi.

Dipetik dari : Utusan Malaysia



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...