Wednesday, June 03, 2009

Biarkan Anak Itu Bersama Ibunya

Tatkala si anak masih kecil dan di bawah jagaan orang tua dia tidak ditaklifkan dengan apa-apa tanggungjawab. Dia hanya mahu dijaga dan diberikan kasih sayang. Dia tidak akan faham kenapa dia direbut dan dipisahkan dari ibunya. Yang dia rasai ialah kesedihan dan kedukaan akibat kehilangan kasih sayang seorang ibu.

Bagi si ibu pula, sudahlah dia berpisah dengan suami, kini dia berdepan kemungkinan anak-anaknya pula dirampas darinya. Apakah tanggapannya terhadap agama yang ‘membenarkan' perbuatan sedemikian? Apakah pula tanggapan kaum keluarganya, sahabat handai dan masyarakat sekeliling terhadap agama berkenaan melihat apa yang berlaku ini?


Soal ‘mengislamkan' anak kecil tidak sepatutnya dipermasalahkan dan diperbesar-besarkan sehingga kita lari dari soal sebenar yakni soal hak penjagaan (hadanah). Tidak kiralah apa yang menjadi punca perceraian berkenaan, hak seorang ibu ke atas anaknya tidak seharusnya dipersoalkan. Malangnya masalah ini tidak dilihat sebagai masalah penjagaan tetapi lebih sebagai masalah hak untuk ‘mengislamkan' anak-anak yang tidak mengerti apa-apa itu.


Ada pihak yang memberi alasan bahawa mereka khuatir tentang nasib dan masa depan anak berkenaan jika tidak dibesarkan secara Islam. Kekhuatiran ini tidak berasas kerana berapa ramai anak-anak yang dilahir dan dibesarkan oleh ibubapa Muslim sedangkan keislaman mereka amatlah menyedihkan.


Syarat untuk seseorang itu dipertanggungjawabkan (taklif) dengan tanggungjawab agama ialah akal. Kanak-kanak masih belum sempurna akalnya, justeru belum dibebankan dengan sebarang tanggungjawab. Sehubungan dengan ini, hadith yang sering dipetik bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaaan fitrah dan kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi, hendaklah diperincikan maknanya agar tidak disalahfahami.


Hadith ini hanya menyatakan secara umum apa yang biasanya berlaku, yakni agama biasanya diwarisi dari orang tua. Ia tidak bermaksud bahawa setiap anak pasti kekal menganuti agama yang diwarisinya, jika tidak apa gunanya dakwah.


Suatu perkara yang menarik untuk diamati tentang hadith ialah bagaimana dalam kes agama-agama Yahudi, Nasrani dan Majusi digunakan perkataan-perkataan ‘meyahudikan (yuhawwidan), ‘menasranikan' (yunassiran), dan ‘memajusikan' (yumajjisan) tetapi tiada perkataan bagi ‘mengislamkan'. Sebabnya ialah kerana tiada sesiapapun pada hakikatnya yang boleh ‘diislamkan' oleh orang lain.


Islam adalah agama fitrah. Ia agama yang sejajar dengan bawaan semulajadi setiap insan. Ia tidak boleh dipaksakan dari luar sebaliknya datang dari kehendak dan kesedaran sendiri. Justeru, perkataan ‘mengislamkan' pada hakikatnya mengelirukan. Tiada sesiapapun yang boleh ‘diislamkan' yakni dijadikan Muslim tanpa keinginan dan kerelaan sendiri.


Hadith ini juga memberi maksud agama-agama yang lain itu bukan agama fitrah, ertinya tidak sejajar dengan bawaan semulajadi manusia, justeru hanya diterima secara ikut-ikutan lantaran kejahilan, ataupun secara paksaan. Hanya dalam Islam fitrah itu ditemui. Tidak kiralah dengan agama apa seseorang itu dibesarkan apabila dia mengenali dan memahami risalah Islam pasti ditemui apa yang dicari selama ini. Dengan sebab itulah hanya dalam Islam menuntut ilmu adalah kewajiban agama yang terutama dan tiada noktahnya. Hanya dengan ilmu yang cukup risalah Islam dapat disampaikan dengan sempurna dan nyata. Sememangnya, yang menjadi tanggungjawab kita hanyalah menyampaikan, sedangkan petunjuk dan hidayah datang dari Allah.


Kalau dipandang dari sudut maslahah kita sebenarnya telah melanggar satu prinsip yang amat penting bahawa kemudaratan hendaklah dihindar atau dihapuskan. Yang kita lakukan sebaliknya adalah membuka pintu kemudaratan yang besar apabila mendedahkan agama kepada fitnah gara-gara perbuatan sendiri yang tidak berhemah.


Persoalan ini mesti ditangani dengan penuh kebijaksanaan dengan mengambilkira keadaan semasa masyarakat di negara kita. Jangan kerana keghairahan nak ‘mengislamkan' seorang dua kanak-kanak ribuan orang yang mula berjinak-jinak dengan Islam menjauhkan diri atau ditakut-takutkan oleh pihak-pihak tertentu agar menjauhkan diri.


Sekiranya soal-soal yang berkaitan dengan perpisahan akibat dari pertukaran agama itu diurus secara berhemah, contohnya secara rundingan tentang siapa yang layak dan sepatutnya menjaga dan hak lawatan pihak yang satu lagi, lebih terbuka kemungkinan kedua-dua pihak dapat berdamai dan tidak bermusuh demi kebaikan anak-anak mereka. Siapa tahu akan terbuka hati pasangan yang belum memeluk Islam itu untuk turut sama memeluk Islam.


Andaikata si bapa memeluk Islam manakala anak-anak di bawah jagaan ibu hubungan antara bapa dengan anak tetap tidak akan putus. Bahkan dia masih wajib menanggung nafkah anak-anaknya. Inilah yang perlu dituntut, ditekankan dan dipertahankan. Sekiranya tanggungjawab sebagai bapa masih diteruskan walaupun sudah bertukar agama anak-anak pasti akan dapat melihat sendiri dan membuat perbandingan dan akhirnya membuat pilihan agama mana yang mahu dianuti. Tiada gunanya memaksakan sesuatu sebelum masanya.


Petunjuk Allah boleh datang dari berbagai jurusan dan dengan berbagai cara. Kita bagaimanapun diajar untuk berlembut dan tidak bersikap kasar terhadap orang-orang bukan Muslim kerana itu akan menyebabkan mereka menjauhkan diri.


Kita berada pada suatu zaman di mana fitnah terhadap agama itu begitu berleluasa. Walaupun kita mungkin tidak boleh menghentikan semua fitnah itu, sekurang-kurangnya kita tidak turut sama menyumbang dalam erti kata menambahkan lagi kegawatan yang sedia ada.




Dipetik dari : Laman Web Rasmi IKIM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...