Perbanyak beriktikaf dalam masjid mencari lailatulqadar
Ramadan adalah antara rahmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang beriman. Malah, Allah menyediakan malam-malam kemuncak yang disebut al-‘Asyar al-Awahir iaitu 10 malam terakhir Ramadan.
Malam ini untuk manusia tunduk memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan melakukan qiyam Ramadan. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka telah diampunkan baginya dosa-dosa yang lampau.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)
Teladan terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah dengan menjadikan 10 malam terakhir Ramadan sebagai kemuncak ibadah berbanding malam lain. Nabi SAW akan menghidupkan malam itu dengan ibadah iktikaf, solat dan berzikir kepada Allah SWT.
Saidatina ‘Aisyah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tibanya 10 Ramadan terakhir Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikatan kainnya.” (Riwayat Muslim)
Ketatkan ikatan kain
Maksud mengetatkan ikatan kain pada pandangan ulama ialah meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama isteri-isteri Baginda. Manakala pandangan yang lain menyatakan, Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadah dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.
Hadis ini juga jelas menceritakan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan. Nabi SAW bukan saja menghidupkan malamnya secara berseorangan, tetapi Baginda mengajak ahli keluarga untuk tidak terlepas mengecapi kemanisan ibadah pada malam itu.
Sesungguhnya 10 malam terakhir Ramadan adalah malam mulia, manakala sepuluh hari terawal Zulhijjah adalah sepuluh waktu siang termulia bagi umat Islam.
Dr Yusuf al-Qardhawi menerangkan, 10 malam terakhir Ramadan dianggap mula kerana dua sebab, Nabi SAW akan sentiasa mengharapkan kebaikan pada setiap penghujung sesuatu perkara mahupun urusan.
Nabi SAW bersabda: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada pengakhirannya,sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hari apabila aku bertemu dengan-Mu.” (Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid)
Pengajaran daripada hadis ini ialah sesuatu amalan yang kita lakukan perlulah diakhiri dengan kesempurnaan. Begitulah juga ibadah dilakukan pada malam Ramadan terutama apabila telah memasuki 10 malam terakhir.
Adalah sedikit mendukacitakan apabila seorang hamba memulakan ibadah hanya pada malam awal dan pertengahan Ramadan, tetapi meninggalkan amal ibadah kemuncak pada malam 10 terakhir.
Kemuncak ibadah waktu malam
Perlulah diketahui bahawa inilah kemuncak ibadah pada waktu malam dalam sepanjang tahun yang Allah telah sediakan kepada kita untuk merasai kelazatan beribadah kepada-Nya.
Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Adakah kamu mengetahui apakah malam lailatulqadar? Malam lailatulqadar itu lebih baik berbanding seribu bulan. Turunnya malaikat dan juga Jibril padanya dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala urusan. Sejahteralah padanya (malam lailatulqadar) sehingga terbitnya fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)
Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosanya yang lampau.” (Riwayat Bukhari)
Ulama termasuk salaf al-soleh berbeza pendapat dalam meletakkan malam tertentu bagi lailatulqadar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menjelaskan dalam karyanya Fath al-Bari bahawa terdapat 39 pandangan dalam memperkatakan penetapan malam lailatulqadar.
Sebahagian kecil ulama berpendapat malam lailatulqadar boleh berlaku pada mana-mana malam dalam bulan Ramadan. Namun jumhur ulama Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat, malam lailatulqadar berlaku pada salah satu malam dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.
Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Carilah ia (malam lailatulqadar) pada sepuluh terakhir Ramadan.” (Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya malam lailatulqadar itu terdapat pada mana-mana malam pada sepuluh terakhir yang tidak jelas waktunya bagi kita. Walaupun begitu ia berada hanya pada satu malam tertentu saja yang telah ditetapkan sehinggalah ke hari Kiamat. Namun malam-malam ganjil adalah yang paling diutamakan dan yang paling hampir dalam malam-malam ganjil itu pada pandangan Imam al-Syafi’i ialah pada malam ke-21.” (Dinukilkan dalam kitab al-Majmu’)
Sebahagian besar ulama berpendapat malam lailatulqadar berlaku pada malam ke-27. Pandangan ini dinyatakan oleh Ibn Abbas dan sebahagian besar sahabat bersandarkan hadis diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufya, Nabi SAW bersabda mengenai malam lailatulqadar: “Ianya pada malam ke-27 (Ramadan).” (Riwayat Abu Daud)
Namun terdapat hadis lain juga menerangkan malam lailatulqadar berlaku pada malam ganjil iaitu malam 23, 25 dan 29.Kesimpulannya malam lailatulqadar tidaklah diketahui bilakah waktunya namun kita disuruh oleh Nabi SAW untuk mencarinya dengan melakukan ibadah pada 10 malam yang terakhir Ramadan. Hal ini bertepatan sunnah Nabi SAW yang memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.
No comments:
Post a Comment