Aiskrim agen pemujuk paling berkesan
“Adik jangan menangis ya, nanti mama bagi aiskrim”. Petikan di atas merupakan salah satu dialog biasa yang kerap digunakan untuk memujuk seorang anak supaya berhenti menangis.
Sedar atau tidak aiskrim sering kali dijadikan objek sejak zaman berzaman untuk menarik perhatian seorang kanak-kanak.
Tidak kira apa jenis aiskrim sekalipun asal rasanya manis, sejuk dan bercirikan ais, ia menjadi satu agen pemujuk yang paling berkesan untuk semua kanak-kanak di seluruh dunia.
Seperti kebanyakan perkara di dunia ini, aiskrim turut mengalami evolusinya sendiri daripada sebagai ‘umpan’ untuk kanak-kanak, kini menjadi sebahagian daripada ‘pemanis’ dalam gaya hidup bagi orang dewasa.
Sebagai contoh, jika dulu bunga dan coklat sering dikaitkan dengan Hari Kekasih, tetapi peredaran masa telah merubah trend tersebut di mana pasangan tidak kira sama ada kekasih mahupun sahabat, menzahirkan perasaan kasih sayang mereka dengan menikmati aiskrim.
Ini kerana keunikan aiskrim itu sendiri yang rasanya manis, warna menarik serta cara ia dihidangkan dengan eksklusif telah menjadikan ia simbol baru pada pesta menyambut Hari Kekasih.
Tambahan pula, terdapat pelbagai perisa aiskrim yang dicipta khas untuk golongan dewasa sesuai dengan cita rasa terkini seperti tiramisu, cappucino, kopi, pudina, teh hijau serta beberapa perasa lain yang menepati selera orang dewasa.
Kenikmatan aiskrim bukan sekadar dapat dirasai dengan lidah, malah ia juga turut dirasai oleh mata.
Ini kerana, pelbagai aiskrim telah banyak digubah daripada konsep asalnya yang dilengkapi dengan hiasan atas atau topping , biskut coklat, kon, coklat bersalut (seperti Smarties dan M&M), perahan pati pekat buah-buahan yang berwarna-warna, cip coklat serta lain-lain lagi aksesori untuk menaikkan lagi seri sesebuah aiskrim tersebut bagi menepati cita rasa penggemarnya yang pelbagai serta mood yang berlainan.
Maka amat sesuai ungkapan dari mata turun ke hati, iaitu menggunakan aiskrim sebagai umpan untuk memikat hati wanita.
Percaya atau tidak, terdapat aiskrim yang mencecah harga puluhan ringgit untuk menikmatinya sekadar tiga atau empat ceduk (scoops).
Ini kerana ia mengandungi khasiat-khasiat tertentu yang berkualiti dan direka untuk golongan-golongan tertentu.
Ada juga aiskrim yang telah diadun khas dengan aroma dan perisa tertentu serta dilengkapi pelbagai aksesori di bawah jenama terkenal dan mempunyai nilai yang tinggi.
Aiskrim bukan sahaja terasa lebih ‘enak’ dinikmati berdua ketika memadu cinta, malah ia juga amat sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga.
Aiskrim yang didatangkan dalam bentuk mangkuk yang besar serta mudah disimpan dalam peti sejuk sering menjadi pilihan utama untuk dinikmati bersama keluarga terutama ketika waktu senggang.
Penyediaannya yang ringkas, cepat dan mudah sering menjadikan ia menu utama pilihan kaum ibu.
No comments:
Post a Comment