Mula belajar masak ketika isteri dalam pantang
SIAPA sangka daripada tidak pandai menanak nasi, penyanyi dan pakar motivasi, Dr Fazley Yaacob, 33, muncul juara MasterChef Selebriti. Dia menewaskan 15 lagi selebriti lain, setelah memberikan persembahan konsisten sepanjang 13 minggu program itu berlangsung. Wang kemenangan sebanyak RM57,500 pula bakal disumbangkan kepada Yayasan Jantung Malaysia yang diwakilinya. Kata Fazley, badan yang diwakili amat bertepatan memandangkan beberapa ahli keluarganya seperti nenek di sebelah bapa antara penghidapnya.
Mengimbau kembali penyertaannya beberapa bulan lalu, ujar Fazley, pada mulanya dia ragu-ragu untuk menyahut cabaran itu. Apatah lagi pada awalnya, Astro sekadar memaklumkan mereka mahu dirinya menghulurkan khidmat sebagai pakar motivasi. Hakikatnya, namanya dicalonkan sebagai peserta.Sejak program itu juga, saya kini terpaksa buat dua kerja. Kalau sebelum ini saya dipanggil untuk memberi ceramah motivasi, tetapi kini penganjur akan selitkan juga demo masakan” Fazley Yaacob, Juara MasterChef Selebriti
Niat murni
Berpuluh kali mempertimbangkan tawaran itu, akhirnya dia bersetuju kerana niat murni program itu untuk membantu pihak memerlukan.
“Saya mula belajar masak sewaktu isteri melahirkan anak pertama kami, Ahmad Fariedz, tiga tahun lalu. Sehinggalah kepada anak kedua dan ketiga, memang saya akan masakan apa saja makanan yang dipinta isteri (Azrene Soraya).
“Biasanya, saya hanya memasak sepenuhnya dalam tempoh dua minggu pertama selepas kelahiran. Jadi jika hendak dikira, dari anak pertama hingga ketiga, saya hanya benar-benar memasak dalam enam minggu saja.
Percubaan menjadi
“Sebelum ini saya rasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana isteri dan ibu suka memasak. Ketika menuntut di New Zealand saya hanya masak mi segera. Hendak masak nasi pun saya terpaksa telefon ibu untuk bertanyakan caranya.
“Waktu isteri dalam pantang barulah saya cuba memasak, itu pun sekadar main campak-campak saja. Saya tidak pernah merujuk mana-mana buku ataupun resipi di internet. Malah saya tidak sangka percubaan demi percubaan saban minggu dalam MasterChef menjadi. Saya memang tidak menjangka akan muncul juara kerana saingan sengit yang diterima, terutama daripada Soo Wincci, Angah Raja Lawak dan Juliza Adlizan,” katanya.
Peminat bertambah
Sejak menyertai program itu juga, ruang lingkup peminatnya juga semakin berkembang. Jika keluar ke mana-mana, pasti ada peminat berbilang bangsa yang akan menegur. Andai sebelum ini kebanyakannya bertanyakan perkara berkaitan motivasi, tetapi kali ini dia ditanya mengenai tip masakan.
“Pernah saya ditegur seorang wanita India yang ingin tahu bagaimana cara memasak maruku dengan betul. Saya terpaksa terangkan kepadanya yang saya bukanlah pakar sangat mengenai masakan.
“Sejak program itu juga, saya kini terpaksa buat dua kerja. Kalau sebelum ini saya dipanggil untuk memberi ceramah motivasi, tetapi kini penganjur akan selitkan juga demo masakan,” kata Fazley.
Turut bertarung dalam MasterChef Selebriti ialah Farouk Hussein, Jehan Miskin, Salamiah Hassan, Thanuja, Serina Redzuawan, Siti Sarah, Azwan Ali, Tomok, Raja Azmi, Karl Shafeq, Dr Faiz, dan Louisa Chong.
Info:
Fazley - RM57,500 (Untuk Yayasan Jantung Malaysia)
Angah - RM7,500 (Untuk Pertubuhan Kebajikan Orang-Orang Kerdil)
No comments:
Post a Comment