Thursday, August 28, 2008

Seniman Datuk Ahmad Mahmud Meninggal Dunia Rabu Malam

*Innalilah-e-wa-inallahai rajioon.

28 Ogos, 2008 00:29 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Seniman yang popular dengan watak Dr Ismadi menerusi filem Ibu Mertuaku, Datuk Ahmad Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ahmad Mahmud, 85, meninggal dunia Rabu malam akibat penyakit buah pinggang.

Anaknya, Rogayah berkata seniman tersohor itu meninggal dunia pada pukul 10 malam di rumah keluarganya di Kampung Tunku di sini.

Beliau berkata Ahmad Mahmud menerima rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar sejak 22 Julai lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya.

"Beliau menghidap penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lepas dan baru sepuluh hari berada di rumah selepas dirawat di Pusat Perubatan Pantai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Hadijah Mohamad, tiga orang anak dan sembilan cucu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor Khamis, di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Ahmad Mahmud, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu memulakan kerjayanya seawal tahun 1951 sebagai pelakon utama dalam filem Matahari.

Dengan memiliki wajah yang tampan, Ahmad Mahmud pernah memegang watak sebagai Hang Jebat dalam filem Hang Tuah pada tahun 1956 bersama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Sehingga kini, Ahmad Mahmud telah berlakon dalam lebih 20 filem, antaranya Istana Impian, Hang Tuah, Ibu Mertuaku, Dayang Senandung, Isi Neraka, Raja Bersiong dan Lela Manja.

Ahmad Mahmud pernah terlibat sebagai pengarah, penerbit, cerita dan lakon layar asal dalam empat buah filem iaitu Mama Oh Mama (1981), Dendam Dari Pusara (1983), Mei 13 dan Komplot (1984).

Beliau juga pernah dianugerah pelakon terbaik di Festival Filem Malaysia keempat pada tahun 1983.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. [...] sekeluarga memang every years akan pergi ke PJ selalu melawat arwah masa sakit dulu.. walaupun arwah x der sejak tahun lepas, sekarang melawat Nek Andak jer… itu pun kakadang ada gak x sempat beraya… mungkin masa [...]

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...