Pada setiap tahun di bulan Ramadan, pihak pengurusan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan bufet Ramadan dengan menghidangkan lebih daripada 300 juadah makanan, termasuk beberapa jenis juadah yang berkonsepkan ala-warung.
“Hidangan Tradisi Warisan Budaya” telah dipilih sebagai tema bagi mempromosikan kempen Ramadan pada kali ketiga (3) ini yang akan bermula pada 8hb Jun sehingga 3hb Julai 2016 dan dibuka pada jam 7 malam hingga 10 malam. Para pengunjung boleh menikmati semua juadah hidangan dengan harga RM98 bersih seorang untuk orang dewasa manakala untuk kanak-kanak yang berumur dari 6 hingga 12 tahun pula berharga RM49 bersih.
Pada tahun ini, pihak pengurusan restoran Cafe@PICC telah mengambil inisiatif dengan menyediakan ruang kapasiti yang memuatkan 1000 orang pada satu masa untuk para pengunjung berbuka puasa. Café@PICC akan dihiasi dengan konsep warisan budaya yang akan menghidupkan lagi suasana keindahan pada bulan Ramadan di PICC. Pembaharuan ini adalah berdasarkan maklum balas dan sambutan dari para pengunjung yang pernah hadir pada tahun-tahun lepas yang memerlukan tempat yang lebih meriah dan kondusif.
Para pengunjung juga boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawikh berjemaah bersama artis dan beberapa lagi personaliti jemputan di Surau PICC. Kelengkapan seperti telekung untuk kaum muslimah dan sejadah turut disediakan.
Sepanjang bulan Ramadan ini, pihak pengurusan PICC juga telah menyenaraikan beberapa aktiviti menarik untuk dikongsikan bersama para pelanggan yang datang berkunjung ke PICC. Diantara aktiviti-aktiviti yang bakal disediakan adalah seperti gerai-gerai jualan di Bazaar PICC, Majlis Iftar Amal Wakaf
Bersama Ustaz Don pada 18hb Jun, Majlis Iftar Akustika bersama Zamani dan Mawi pada 22hb Jun, Majlis Iftar Amal bersama Anak-Anak Yatim, dan pelbagai lagi pengisian kerohanian dan kebajikan untuk dimanfaatkan bersama.
Turut diadakan juga adalah aktiviti mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai selepas selesainya solat Asar di perkarangan pondok keselamatan masuk utama PICC. Bubur lambuk istimewa ini disediakan sendiri oleh pasukan chef PICC.
Persembahan qasidah dari Afad, Rabbani, Wildan dan Pawana bakal menghiburkan para pengunjung yang berbuka puasa di Cafe@PICC sepanjang waktu berbuka puasa. Pihak pengurusan PICC turut membuat kelainan dengan menjemput personaliti Pencetus Ummah untuk menyampaikan tazkirah selama 15 minit sebelum mengalunkan azan Maghrib dan berbuka puasa pada setiap hari, bermula 8hb Jun 2016.
Lebih menarik lagi, pasukan chef PICC yang diketuai oleh Chef Anuar, Pengurus Besar Operasi F&B akan menyediakan kambing panggang setiap hari dengan resipi istimewa, rempah ratus dan aromanya yang tersendiri serta dihidangkan dengan sos lada hitam dan sos cendawan yang akan membangkitkan lagi selera para pengunjung. Seperti pada tahun-tahun lepas, stesen “Aneka Panggang” yang turut menghidangkan aneka ikan bakar akan menjadi pilihan utama para pengunjung sehingga sanggup beratur panjang untuk menikmatinya.
Bukan itu sahaja, stesen “Kawah Warisan” juga bakal menjadi tarikan disepanjang bulan Ramadan ini dengan hidangan tiga (3) jenis nasi iaitu nasi briyani, nasi kandar, dan nasi dagang Terengganu dengan aneka lauk pauk yang segar lagi menyelerakan seperti ayam, daging dan kambing berserta acar, dalca sayur dan papadum.
Chef Anuar juga telah menyediakan beberapa jenis menu baharu yang akan bertukar setiap hari. Diantara hidangan yang bakal membangkitkan selera para pengunjung ialah 16 hidangan pembuka selera seperti som tam PICC, salad betik muda bersama udang kering, aneka cholek, nasi ulam utara, kerabu buah mangga pauh daging salai, ayam berempah pucuk paku, pecal, kerabu sardin pucuk ulam, kerabu jantung pisang udang kering, gado-gado, kerabu kaki ayam carik kacang panjang, kerabu ikan kembung daun selom, kerabu taugeh perut lembu, kerabu sotong kering, tauhu bakar putrajaya sempoi, kerabu kupang kacang buncis, dan salad taman campuran.
Pilihan “Buffet and Live Station” pula terdiri daripada kecur liur, aneka keropok (seperti keropok ikan, keropok papadum, keropok inang-inang, keropok belinjau, keropok udang, keropok sayur, keropok ubi merah, keropok ubi kayu, kerepek ikan bilis), jeruk Pak Ali (jeruk mangga, jeruk cermai, jeruk betik, jeruk buah pala, jeruk sengkuang, jeruk buah kana, jeruk anggur, jeruk buah limau, jeruk buah ceri, jeruk buah), sup bunjut PICC, sup cendawan, sup cendawan berkrim, bubur lambuk PICC, warung tempura, roti terbang (murtabak, roti canai dan roti boom), nasi goreng dan mee goreng lambak, shawarma, kerang/lala bakar, nyonya kari laksa, laksa Utara, mi sup udang, “Chinese seafood egg gravy”, dan banyak lagi.
Manakala “BBQ Grill” pula menyediakan hidangan bakar ikan kembung, ikan talapia, ikan pari, ikan keli yang diperap bersama sambal. Terdapat juga pilihan ayam dan kambing bakar, satar terengganu, otak – otak, stik daging, dan pelbagai lagi hidangan yang menyelerakan.
Bagi penggemar nasi, terdapat kepelbagaian untuk dicuba di stesen “Kawah Warisan” dengan pilihan nasi briyani (ayam briyani, kari kambing, sambal telur, dalca sayur berkentang, dan acar rampai), asam pedas Melaka, siput sedut masak lemak, kari ayam kapitan, daging salai masak lemak cili padi dan ikan keli goreng berlado.
Nasi kandar juga terdapat di sini dengan lauk-pauk seperti kambing hitam manis, sambal telur, ayam goreng berempah, dalca sayur dan tetel, kobis goreng kunyit, rendang Tok “Perak”, gulai udang buah pelam, daging gulai kawah dengan “rias”, dan nangka muda masak lemak. Penggemar masakan Pantai Timur pula, nasi dagang Kuala Terengganu bakal menepati citarasa dengan aneka lauk pauk seperti kari ikan tongkol berherba, ayam percik Kuala Terengganu, sotong masak singgang, sayur pucuk paku goreng belacan, ikan patin masak tempoyak, dan daging kerutup.
Bagi kanak-kanak pula, PICC memperkenalkan “Kids Corner” dengan pilihan makanan seperti bertih jagung, aiskrim coklat dan vanilla PICC, “Live Pasta Station” dengan aneka spaghetti, fettuccine, penne, linguine dengan sos bolognese, karbonara atau marinara. Lain-lain hidangan seperti nasi goreng Cina, naget ayam, sosej, burger mini, ayam goreng rangup, dan sebagainya.
Kaunter bufet turut menyediakan hidangan manisan dan pencuci mulut seperti manisan periuk tanah liat, bubur kacang hijau durian, bubur pulut hitam, pengat labu, pengat pisang, bubur cha-cha, dan bubur gandum. Juga terdapat aneka kuih melayu, variasi kek, dan buah-buahan.
Kaunter minuman sejuk dan panas pula menyediakan air sirap bandung, air sirap selasih, air asam boi, air jagung, air tebu, air mata kucing, air kacang soya, teh tarik, dan kopi kampong (bersama-sama ini dilampirkan menu-menu yang lain).
Dalam menikmati kelazatan hidangan yang disediakan, para pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama wang tunai dan beberapa hadiah menarik dengan hanya mengisi borang penyertaan yang disediakan bersama bukti pembelian bufet.
Selain itu, pengurusan PICC juga menyediakan tempahan khas “Rumah Terbuka” pada harga yang istimewa untuk majlis berbuka puasa berkonsepkan korporat bagi meraikan pelanggan-pelanggan dan kakitangan-kakitangan syarikat mereka. Tempahan khas ini termasuk dewan beserta bilik solat, sistem audio, dan video.
Untuk membuat tempahan, para pelanggan boleh terus ke kaunter tempahan Bufet Ramadan di Cafe@PICC, aras Concourse PICC, atau menempah secara atas talian di www.ticketonline.my/PICC atau menerusi telefon di talian 03-88876000.
Untuk mendapatkan maklumat mengenai acara atau pakej yang ditawarkan dengan pantas bolehlah menggunakan saluran media sosial Facebook PICC iaitu http://www.facebook.com/piccmalaysia, Instagram PICC @piccmalaysia atau Twitter PICC @piccmalaysia.
No comments:
Post a Comment